Penjawat awam digesa melakukan anjakan paradigma dengan menerapkan empat nilai asas dan berkhidmat berlandaskan konsep berfikir di luar kotak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata empat nilai asas tersebut ialah membudayakan kreativiti dan inovasi, mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan, nilai untuk wang, dan nilai integriti.

“Keempat-empat nilai asas ini merupakan elemen yang ditekankan oleh Perdana Menteri kepada penjawat awam dalam usaha menjayakan agenda transformasi kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah perkhidmatan cemerlang kementeriannya bagi 2009, di sini malam ini.

Beliau berkata membudayakan kreativiti dan inovasi bermaksud para penjawat perlu berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian di luar kezaliman.

Kong berkata kepantasan bertindak dan membuat keputusan akan menyebabkan keyakinan rakyat kepada kerajaan akan meningkat.

“Selain daripada itu, faedah daripada amalan kepantasan juga akan mengurangkan kos kepada pelanggan dan seterusnya meningkatkan daya saing,” katanya.

Dalam konteks nilai untuk wang atau ‘value for money’ beliau berkata penjawat awam perlu mencari kaedah yang lebih berkesan dan efektif dengan memberi penekanan kepada penjimatan kos dan berupaya mendapat kualiti perkhidmatan yang baik.

Katanya ketiga-tiga nilai ini tidak lengkap tanpa sokongan nilai integriti.

“Penjawat awam haruslah menghindari gejala salah urus seperti pembaziran dan penyelewengan, kerana setiap perbelanjaan hendaklah mendapat pulangan nilai maksima kepada kerajaan dan rakyat,” kata beliau.

Seramai 190 penjawat awam di kementerian itu menerima anugerah masing-masing malam ini.

from :
– BERNAMA--